Berkonsepkan Kebun Laman, maka ayah mencadangkan kesemua Paip Dalaman bersaiz 16mm diletakkan di bawah polibag agar ianya kelihatan lebih kemas dan tersusun rapi. Dan lagi air baja AB akan lebih sejuk apabila siraman dilakukan pada sebelah tengahari berbanding dengan kedudukan paip di bahagian tengah (antara 2 barisan polibag).
Sebelum ini kami menggunakan 2 unit tangki air baja berkapasiti 150 gelen setiap satu. Tetapi pada kali ini kami telah membeli 1 unit tangki poli berkapisiti 400 gelen bagi memudahkan kerja-kerja penyediaan air baja dan melanjutkan lagi tempoh simpanan air baja dari 3 hari kepada lebih 7 hari (bergantung kepada umur anak pokok dan kadar siraman).
Kami memindahkan anak pokok F1 568 dan F1 223 sebanyak 154 pokok ke dalam polibag pada jam 6 petang dan selesai kira-kira 1 jam kemudian diikuti dengan pemberian air kosong kepada anak pokok. Air baja AB mula diberikan pada keesokkan harinya dengan kadar 500ml/sehari/pokok sehingga anak pokok meningkat dewasa.