Patogen (Agen Pembawa) : Ralstonia solanacearum (dahulunya Pseudomonas solanacearum)
Punca : Bakteria
Nama Lain : Penyakit Darah, Penyakit Moko
Agen/Cara Penyebaran :
Bakteria ini mudah tersebar melalui tanah/medium (soil) dan kesan limpahan dari paip sistem pengairan titis. Bakteria ini bersifat aerobik, tidak berspora, berbentuk rod, dan motile (bergerak secara bebas). Ia akan membentuk koloni dan membiak di dalam xilem tumbuhan yang menjadi hos yang akan menyebabkan tumbuhan mengalami simptom layu bakteria (bacteria wilt).
Ralstonia solanacearum boleh hidup di dalam tanah bagi jangkamasa yang lama sehingga beberapa tahun. Ini menyebabkan penyakit ini agak sukar untuk dikawal dan kawasan yang telah terkena jangkitan penyakit ini kebiasaannya tidak boleh ditanam dengan pokok yang sama untuk tempoh beberapa tahun.
Kajian menunjukkan tanaman lebih mudah terdedah kepada penyakit ini pada tahap suhu persekitaran diantara 24-27°C.
Bahagian Serangan :
Akar dan batang.
Cara Serangan :
Bakteria menyerang tanaman melalui akar yang mengalami kecederaan (rosak), batang yang rosak (stem wound) atau melalui stomata. Bakteria ini akan memasuki kawasan pembuluh (vascular) tanaman dan merosakkan sistem tumbuhan.
Kesan Serangan :
Daun-daun pokok (bermula dari bahagian atas) akan kelihatan layu dan menjadi kekuningan seperti tanda-tanda kekurangan air. Kebanyakan pekebun sering tersalah tafsir kerana menyangka tanaman mereka kekurangan air, namun walaupun siraman dilakukan, ianya tetap tidak menunjukkan tanda-tanda untuk pulih.
Apabila bahagian yang paling dekat dengan akar (pangkal batang) dipotong dan kemudiannya dimasukkan ke dalam gelas berisi air jernih, maka akan keluar cairan (lendir) berjalur yang berwarna putih seperti jaluran asap rokok. Lendir tersebut akan mendap ke dasar gelas. Lendir ini merupakan massa bakteria.
Kemudian apabila pada bahagian pangkal batang dipotong secara melintang ataupun membujur, maka akan kelihatan pembuluh kayunya berwarna coklat. Ini menunjukkan jangkitan bakteria telah sampai ke tahap kritikal.
Penyakit “layu bakteria” adalah berbeza dengan “layu fusarium” kerana layu fusarium tidak keluar cairan berwarna putih ini. Pada bahagian akarnya kelihatan menjadi coklat busuk.
Kaedah Kawalan dan Rawatan :
Pada masa sekarang tiada rawatan khusus terhadap penyakit Layu Bakteria ini. Antara kaedah-kaedah kawalan adalah :-
- Pokok yang terkena penyakit ini hendaklah dicabut dan dibakar supaya ianya tidak menjangkiti pokok yang lain.
- Selain daripada itu, sistem penyaluran air dan baja ke kawasan tanaman hendaklah dibuat dan diselenggarakan dengan baik.
- Penggiliran dengan tanaman lain adalah salah satu kaedah untuk mengelakkan penyakit Layu Bakteria ini daripada menyerang tanaman.
- Lakukan semburan racun kulat atau antibakteria Ridall 50 terhadap medium tanaman fertigasi (sabut kelapa atau sekam padi) bagi tanaman musim kedua dan seterusnya.
- Amalan semburan/siraman dengan Garlic Oil (Minyak Bawang Putih) dapat menghalang penyakit Layu Bakteria dan pada sesetengah kes, dapat dipulihkan
- Gunakan varieti yang tahan penyakit bakteria.