Nama Penyakit/Perosak : Kutu Daun, Aphid, Afid - Aphis spp
Keluarga (Family) : Aphididae
Patogen (Agen Pembawa) :
Punca : Serangga
Nama Lain : aphis gossypii
Agen Penyebaran : Sentuhan, Angin, Manusia, Haiwan dan lain-lain
Bahagian Serangan : Daun, Batang, Pucuk, Bunga dan Buah
Jenis Tanaman Diserang :
Sweet Melon, Tembikai Susu (Honeydew), Tomato, Cili, Timun, Terung, Jagung, dan lain-lain
Cara Serangan :
Aphid dewasa dan nimfa menghisap cairan sel daripada bahagian daun, pucuk, bunga, buah dan batang pokok.
Kesan Serangan :
Symtomnya dapat dilihat pada daun tanaman yang kelihatan mengerekot (kerinting), melengkung ke atas atau ke bawah. Berbelang-belang kekuningan (klorosis). Serangan pada bahagian bunga tanaman akan menyebabkan bunga gugur. Selain daripada itu, ia juga adalah penyebab kepada penyakit kulat yang dikenali sebagai Kulat Jelaga ataupun Kulat Jelaga Hitam (Sooty Mould/Sooty Mold).
Serangan dan pembiakan Aphid biasa meningkat terutamanya pada musim panas dan kering.
Penyebaran Virus
Aphid juga adalah vektor kepada penyakit virus terhadap tanaman. Ini berlaku semasa Aphid menghisap cairan dari tanaman, ia juga boleh menyuntik kandungan toksin dan memindahkan virus kepada tanaman, terutamanya dari Aphid dewasa yang bersayap. Tanaman yang dijangkiti penyakit virus akan terbantut dan kehijauan daun tidak seragam. Daun kelihatan berbelak-belak hijau tua dan hijau muda. Tulang utama daun akan berkerekot (kerinting) dan daun muda menjadi tirus serta keras.
Penyakit Kulat Jelaga Hitam (Sooty Mould/Sooty Mold)
Aphid juga mendatangkan penyakit lain seperti kulat (cendawan). Ini berlaku bilamana manisan (sisa buangan, honey) yang dikeluarkan oleh Aphid secara berlebihan akan mengenai bunga, daun, buah dan batang pokok dan melalui kaedah berikut :-
- Manisan ini adalah bersifat melekit (sticky) dan apabila mengenai daun ia akan memerangkap banyak habuk dari persekitaran kawasan tanaman.
- Manisan serta habuk yang terperangkap ini menyebabkan terjadinya penyakit kulat yang dikenali sebagai Kulat Jelaga atau Jelaga Hitam (Sooty Mould/Sooty Mold) yang akan menjadikan daun bertukar warna kehitaman
- Kesan Jelaga Hitam yang menutupi permukaan daun ini juga akan menyebabkan daun pokok tidak dapat menerima cahaya matahari dengan secukupnya dan ia akan menjejaskan proses fotosentis tanaman. Oleh yang demikian pokok akan menjadi semakin lemah dan membantutkan pembesaran serta menjejaskan hasil tanaman.
Mengenali Aphid
Aphid berkembang biak melalui 2 kaedah iaitu perkahwinan biasa dan tanpa perkahwinan (Unusual Lifesycles). Bagi pembiakan tanpa perkahwinan, telur-telur Aphid dapat berkembang biak menjadi anak (Nimfa) melalui proses partenogenesis (dilahirkan oleh Aphid dewasa) dengan kadar 5-6 nimfa sehari. Bersalin kulit sebanyak 4 kali melalui 4 peringkat instar sebelum menjadi dewasa dalam masa 7-10 hari.
Bahagian dada dan kepala dewasa berwarna hitam dan abdomen berwarna hijau gelap dan ada yang terdapat "antena" berwarna hitam dihujung abdomennya.
Terdapat lebih daripada 4,400 spesis Aphid dengan pelbagai warna badan mereka seperti merah muda (pink), kuning, kelabu, putih atau hitam bergantung kepada warna tanaman yang didiami. Ada juga spesis Aphid kelihatan licin atau berbulu.
Aphid pada kebiasaannya mencari makanan (pada daun atau batang) dalam satu kumpulan dan seringkali dilihat bersesak-sesak. Namun begitu, kebanyakan Aphid tidak bergerak secara agresif apabila diganggu.
Aphid dan Semut Saling Bekerjasama
Dalam kebanyakan keadaan, pada kebiasaannya dimana terdapat kaloni Aphid yang mengerumuni tanaman, maka akan juga terdapatnya kehadiran semut (semut hitam) yang bertindak melindungi Aphid daripada serangan pemangsa. Ini adalah kerana semut akan memperolehi manisan (honey) daripada sisa buangan yang dikeluarkan oleh Aphid.
Pemerhatian para penyelidik mendapati hasil daripada keakraban dan kerjasama ini, semut akan mengiringi sambil melindungi Aphid ke daun atau pokok yang baru. Oleh yang demikian, tidak hairan kenapa Aphid dan semut adalah 2 jenis serangga yang saling memerlukan diantara satu sama lain.
Mengawal Populasi Aphid
Bagi mengawal pembiakan Aphid, maka populasi semut juga hendaklah di hapuskan kerana semut seringkali menjadi sahabat baik dan pelindung kepada Aphid daripada serangga pemusnah seperti ladybird, larva lalat jala, tebuan, labah-labah, lalat dan lain-lainnya. Semut akan senantiasa mempertahankan Aphid daripada serangan musuh dan pemangsa.
Kaedah Kawalan dan Rawatan
Antara kaedah yang terbaik bagi mengawal serangan Aphid ini adalah :-
- Memahami kitaran hayat Aphid dan melakukan semburan racun kawalan serangga yang betul bagi membataskan pembiakannya bermula dari pembentukan telur dan larva.
- Melakukan semburan pada masa dan waktu yang sesuai.
- Menggilirkan penggunaan racun kawalan serangga.
- Memastikan sukatan yang disyorkan oleh pengeluar racun kawalan serangga dipatuhi.
Kawalan Secara Kultura :
Kawalan secara kultura adalah satu kaedah dimana melakukan amalan dan kaedah penanaman yang betul bagi mengatasi masalah serangga dan perosak tanaman. Diantara amalan dan kaedah yang berguna adalah :-
- Periksa dan pastikan semua peralatan kebun di dalam keadaan bersih. Pembersihan boleh dilakukan dengan mencuci kesemua peralatan kebun dengan larutan pembersih seperti cloroc, dettol dan sebagainya bagi memastikan pembiakan kutu daun dapat dibendung.
- Rumpai hendaklah tidak memenuhi kawasan kebun.
- Lantai, tapak, silver shine dan sebagainya hendaklah di dalam keadaan bersih.
- Penggunaan perangkap Plastik Kuning dan Pelekat Serangga dapat memerangkap Aphid dewasa.
- Jalankan pemantauan dengan kerap dan teliti terhadap tanaman terutama pada peringkat awal pertumbuhan. Aphid selalunya berselindung dibawah daun.
- Menanam tanaman pelindung atau tanaman perangkap (trap crop) di sekeliling kawasan kebun seperti serai, jagung dan lain-lainnya.
- Menggunakan benih dari varieti yang menpunyai ketahanan penyakit yang tinggi.
Kawalan Secara Biologi :
Kawalan secara biologi adalah satu kaedah kawalan perosak menggunakan organisma tertentu seperti menggunakan konsep mangsa dan pemangsa (predators). Diantaranya pemangsa yang sangat efektif untuk menghapuskan Aphid adalah seperti berikut :-
- Kumbang Kura (Lady Bird/Ladybugs - hippodamia convergens) - Ladybird merupakan diantara pemangsa yang terbaik untuk menghapuskan atau sekurang-kurang dapat mengurangkan populasi Aphid yang mendiami sesuatu jenis tanaman. Kajian menunjukkan seekor Ladybird dewasa mampu makan sehingga 1,000 ekor Aphid sehari.
- Larva Lalat Jala (Lacewings larvae) - Larva Lalat Jala juga merupakan pemangsa kepada Aphid. Ia menjadikan Aphid sebagai makanannya.
- Tebuan - Tebuan juga merupakan serangga pemangsa kepada Aphid.
- Serangga Parasit - Melepaskan serangga parasit (Parasitic Wasps) seperti lebah atau lalat (bukan lalat buah, fruit fly) kepada tanaman (pokok). Parasit betina ini akan menjadikan Aphid dewasa sebagai tempat untuk ia meletakkan telurnya. Apabila telur parasit ini menetas menjadi larva, ia akan memakan bahagian dalam Aphid dan menyebabkan Aphid akan mati.
Serangga pemangsa ini kemudiannya akan dilepaskan ke kawasan tanaman bagi tujuan menghapuskan dan mengurangkan serangan Aphid.
Kawalan Secara Kimia :
Terdapat pelbagai jenis racun kawalan serangga dan perosak berasaskan kimia di pasaran negara kita. Diantaranya adalah seperti berikut :-
Racun Serangga (Insecticide) : Aphid
- acetamiprid : Clipper 20SL, Dekker, Kenmos, Mospilan20SP
- chlorphyrifos : BodyGuard, Logic 75, Kensban 75
- chlorphyrifos + cypermethrin : Baga 505, Dewana Cyperchlor 505, Dragon 505, Energy 505, Kayak 505
- cypermethrin : AGR Cylac 10EC, AGR Cyma 10EC, AGR Jola 10EC, Chiptrin 5.5, Consult 5EC, Contest 50EC, Cosmo 35, Kencis 1600, Ken-Cyper 1600
- deltamethrin : Cothrin, Cracko, Deltam, Destin 1.4 EC, Decis 2.5 EC, Detin, Vancis, Venthrin 1.4EC
- dimethoate : Dimeto 400, Kenlogo, Lexide 400EC
- imidachloprid : Confidor, Fusilier 18.3SL, Imida 200, Indigo, Nascent 18.2SL, Nexus 18.3SL, Pack-it 200, Palisade 18.2SL, RH Imidacloprid, SK Imidacloprid
Racun Kulat (Fungicide) : Kulat Jelaga Hitam (Sooty Mould/Sooty Mold)
- benomyl : Benocide 50WP, Benex, Kenlate
- carbendazim : Benzim SC, Cakera 50WP, Headlines 42 SC, Vimax 50 D, Zimac SC, Zimlate SC
Kawalan Secara Organik :
Kawalan secara organik adalah diantara sistem kawalan serangga perosak baik. Diantara kaedah yang boleh digunakan adalah seperti berikut :-
- Cuci (menyental) - Menggosok dengan tangan sambil menyiram air yang banyak kepada daun atau batang yang dikerumuni oleh Aphid.
Sabun Antiseptik (Antisecticidal Soap) - Bancuh sabun antiseptik (sebaik-baiknya sabun yang mengandungi potasium) dengan kadar 1 sudu teh bersama 2-4 liter air. Kemudian lakukan semburan kepada tanaman yang diserang oleh Aphid. Elakkan menggunakan sabun yang mengandungi perfume atau bahan sampingan (additives) yang boleh merosakkan tanaman.
Cecair Pencuci - Sabun cuci pinggan atau sabun cuci baju juga boleh digunakan Semburan dengan menggunakan cecair pencuci. Aphid bernafas melalui kulit badan mereka. Oleh yang demikian, semburan bahan pencuci akan menyebabkan kulit badan mereka akan diselaputi oleh bahan cecair pencuci dan akan dapat melemaskan serta menyebabkan kekeringan (dehydration). Campurkan 1 sudu cecair pencuci dengan 2 liter air suam dan sembur kepada pokok.
Minyak Neem (Neem Oil) - Minyak Neem berfungsi melemaskan pernafasan Aphid sehingga boleh membunuh Aphid dengan berkesan. Selain itu, Minyak Neem juga dapat melindungi tanaman daripada serangan beberapa jenis penyakit kulat. Apabila semburan Minyak Neem dilakukan, ianya akan diserapkan (absorb) oleh daun, batang dan keseluruhan pokok serta bertindak melindungi pokok daripada diserang oleh Aphid. Menurut Environmental Protection Agency, Neem adalah selamat digunakan terhadap tanaman sayuran dan makanan serta tanaman perhiasan.
Rujukan :
1. Wikipedia - Wikipedia
2. University of California - Agriculture & Natural Resources
3. University of Hawai'i at Manoa - Sooty Mold oleh Scot Nelson
4. University of Wyoming - Parasitic Wasps by Asst Prof. Michael J Brewer
5. Universiti Pertanian Malaysia - Study of Sooty Mould oleh Lim Tong Kwee
6. Houseplants
7. Seaspringseeds