Info Kebun
Pengusaha : En Amir/En Hairi
Kebun : Kg Bkt Darat, Tjg Kling
Tanaman : F1 568
Jumlah : 2,500 pokok
Pada masa sekarang kebun mereka hanya menggunakan 1 tangki air baja berkapasiti 600 gelen dan di dalam proses menambah satu lagi tangki bagi memastikan bekalan air baja adalah menepati keperluan tanaman berjumlah 2,500 pokok ini. Saya juga menasihatkan mereka membuat bumbung bagi melindungi tangki air baja tersebut daripada pancaran terus matahari yang akan menyebabkan air baja menjadi panas terutamanya pada waktu siraman tengahari. Air yang panas tidak digalakkan disalurkan kepada tanaman kerana ia akan menyebabkan tanaman tidak dapat menyerap nutrien dengan baik. Tambahan pula air yang panas mengandungi kurang oksigen berbanding dengan air yang sejuk.
Sebelum ini, mereka yang menggunakan "polibag bantal" terpaksa mengeluarkan belanja membeli polibag lain untuk tanaman musim kedua ini memandangkan bentuk fisikal polibag tersebut menyukarkan mereka untuk melakukan proses rawatan media.
Pada masa lawatan saya ini, anak pokok mereka telah berusia lebih daripada 2 minggu. Oleh yang demikian, saya menyarankan agar mereka menggunakan Zeolite bagi memastikan sekam padi bakar yang mereka gunakan sebagai media tanaman dapat berfungsi dengan baik dan meningkatkan kebolehupayaannya memegangkan nutrien dengan lebih baik.
Saya menghabiskan masa lebih kurang 1 1/2 jam di kebun mereka sambil berkongsi-kongsi input dan maklumat tentang Pemberian Nutrien, Kawalan Serangga dan Pengurusan Kebun memandangkan tanaman musim pertama mereka tidak menepati sasaran kutipan hasil sepertimana yang diharapkan. Mudah-mudahan tanaman mereka pada musim kedua ini akan dapat menepati sasaran kutipan skurang-kurangnya 2.8kg bagi setiap pokok.
Kebun Amir/Hairi, Kg Bukit Darat, Melaka



Kemudian saya memenuhi undangan kedua iaitu melawat kebun En Ridzuan yang terletak di Pokok Mangga, Melaka. Kapasiti tanaman beliau yang telahpun mengeluarkan hasil berjumlah 6,000 pokok cili Kulai F1 568.
Beliau mengusahakan tanaman cili ini berdekatan dengan depot simpanan kenderaan pembuangan sampah. Oleh yang demikian ianya mengundangkan pelbagai jenis serangga dan bakteria. Untuk tujuan itu, saya menasihatkan agar beliau lebih peka terhadap kawalan serangga terutamanya bagi memastikan bakteria tidak dapat melepasi kawasan kebun iaitu dengan memasangkan jaring hitam disepanjang sempadan kebun.
Info Kebun
Pengusaha : En Ridzuan
Kebun : Pokok Mangga, Melaka
Tanaman : Kulai F1 568
Jumlah : 6,000 pokok
Antara masalah yang beliau hadapi ialah serangan Ulat Plutella yang menyebabkan banyak pokok cili terjejas terutamanya pada bahagian daun yang kelihatan berlubang-lubang tembus cahaya. saya menasihatkan agar beliau menggunakan racun serangga Selecron. Selepas beberapa hari penggunaannya, kesan serangan semakin berkurangan. Dan terkini, saya dimaklumkan bahawa masalah serangan Ulat Plutella ini telah selesai. Alhamdulillah.
Disamping Cili Kulai, beliau juga ada mengusahakan lain-lain tanaman seperti Cili Akar, Bendir, Terung dan lain-lain. Bagi memastikan atau sekurang-kurangnya mengurangkan risiko serangan penyakit, beliau disarankan agar memisahkan plot tanaman agar tanaman-tanaman lain tidak mengundang kehadiran serangga seperti hama, kutu trips, kutu daun dan sebagainya. Antara cadangan ialah memasang jaring hitam pemisah sekurang-kurangnya 6 kaki tinggi antara tanaman cili dan tanaman lain.
Semasa kehadiran saya, kebun beliau baru sahaja mengeluarkan hasil sebagai cili hijau (atas permintaan pelanggan) dan dijual dengan harga RM7.00/kg.
Kami juga berbincang tentang 3 perkara utama di dalam penanaman cili ini iaitu Pemberian Nutrien, Kawalan Serangga dan Pengurusan Kebun.
Selain daripada penggunaan Baja AB sebagai sumber Nutrien utama, saya juga menasihatkan beliau tentang kebaikan Supplement seperti Zeolite, Penggalak Bunga/Buah, Smart Grow bagi memastikan buah cili yang dihasilkan adalah menepati keperluan pasaran.
Berbekalkan minat dan keazaman yang tinggi, saya percaya En. Amir, En. Hairi dan En. Ridzuan akan menjadi usawantani Fertigasi yang berjaya dan akan menjadi model kepada bakal usahawan-usahawan lain di negeri Melaka ini yang ingin menceburi industri pertanian Fertigasi ini.
Kebun Ridzuan, Pokok Mangga, Melaka.




