Kaedah penyemaian biji benih yang biasa dilakukan adalah seperti berikut.
Pemilihan dan Penyediaan Biji Benih
Pemilihan biji benih adalah menurut pilihan anda. Terdapat pelbagai jenis biji benih cili di pasaran pada masa sekarang iaitu hybrid F1 568, F1 223, F1 469, dan sebagainya.
Namun begitu, pada masa sekarang benih F1 568 menjadi pilihan utama kerana faktor saiz buah cili yang sederhana besar, ketinggian pokok yang ideal (3-4kaki), sambil berbuah, pokok mengeluarkan bunga dan putik, rasa buah cili yang kurang pedas dan lain-lain. Malahan ianya menjadi pilihan utama terhadap pasaran cili di negara kita ini.
Biji benih dari varieti hibrid adalah lebih baik dari segi ketahanan dan mempunyai kadar peratusan yang tinggi untuk mudah bercambah dan hidup sihat.
Kaedah merawat biji benih boleh dilakukan kepada biji benih yang bukan dari varieti hibrid bagi tujuan ketahanan daripada penyakit. Racun kulat (Thiram) boleh digunakan untuk tujuan tersebut. Sila baca panduan pada label racun tersebut.
Biji benih hendaklah disediakan (disemai) 20%-30% lebih daripada jumlah keperluan. Ini adalah bagi memudahkan kita melakukan pemilihan hanya kepada anak pokok yang sihat sahaja dipindahkan ke dalam polibag.
Pemilihan bekas semaian
Sediakan bekas semaian (juga dikenali sebagai dulang semaian). Kebiasaannya bekas semaian ini mengandungi kapasiti 104 lubang.
Bekas semaian dicadangkan agar ditandakan dengan tarikh menyemai biji benih untuk tujuan rekod umur anak pokok di dalam tray semaian. Secara tidak langsung ianya akan memudahkan kita untuk mengetahui tumbesaran benih tersebut.
Pemilihan Media Semaian
Pilih media semaian yang bersesuaian seperti Peat Moss atau Holland Peat. Jangan gunakan media semaian berbentuk tanah atau baja bakar bagi mengelakkan penyakit terutamanya pada akar pokok.
1. Merendam Biji Benih
Rendam biji benih tersebut ke dalam bekas yang berisi air. Boleh gunakan air paip. Namun begitu adalah lebih baik sekiranya air paip yang digunakan tersebut mempunyai bacaan sekitar 5.8pH.
Tujuan proses rendaman ini adalah :-
- Memastikan cengkerang/kulit biji benih cili lebih lembut dan memudahkannya untuk bercambah.
- Sebaiknya ambil biji benih yang tenggelam sahaja. Biji benih yang tidak tenggelam, ada kemungkinan ianya kurang baik.
Untuk lebih baik, selepas rendaman pertama ini, bolehlah direndamkan pula ke dalam bancuhan racun kulat (gunakan racun thiram) selama 5-10 minit untuk tujuan perlindungan daripada serangan penyakit samada dari biji benih mahupun apabila pokok telah dewasa.
2. Mengeringkan Biji Benih
Apabila telah cukup tempoh rendaman, toskan airnya dengan menggunakan alat penapis. Boleh gunakan penapis teh.
Letakkan biji benih yang telah ditoskan airnya ke atas kertas suratkhabar dan dilipatkan bagi tujuan pengeringan. Ini akan memudahkan kerja-kerja menyusun biji benih ke dalam tray semaian. Sekiranya biji benih basah ianya akan melekat-lekat diantara satu sama lain.
3. Penyediaan Media Semaian
Sambil menunggu biji benih kering, maka proses menyediakan media semaian boleh dilakukan. Media semaian yang boleh di gunakan adalah terdiri daripada Peat Moss/Holland Peat dan lain-lain. Ianya dikenali juga sebagai baja kompos.
Jangan menggunakan media semaian seperti tanah atau baja bakar!!!
Isikan media semaian (Peat Moss) ke dalam bekas semaian. Peat Moss hendaklah ditekan dengan jari pada kadar sederhana. Jangan isikan terlalu padat kerana ianya akan melambatkan percambahan biji benih dan menyebabkan akar pokok sukar bergerak. Sebaiknya isikan peat moss pada kadar 85-90% penuh.
4. Menyemai biji benih
Seterusnya, ambil dan letakkan biji benih yang telah dikeringkan di atas kertas suratkhabar itu tadi ke dalam setiap lubang yang berisi peat moss pada tray semaian tersebut. Pastikan biji benih diletakkan di tengah-tengah kedudukan setiap lubang bagi memastikan akar pokok mendapat ruangan yang secukupnya.
NOTA : Pilih hanya biji benih yang baik dan elok sahaja.
5. Kedalaman Semaian Biji Benih
Biji benih perlu disemai pada kedalaman 3~5mm di dalam peat moss. Untuk memudahkan kerja-kerja ini, gunakan lidi atau pencungkil gigi sebagai penyukat dan tandakan ukuran yang dikehendaki dengan menggunakan pen/pensil.
Dengan menggunakan penyukat ini, tekan/benamkan biji benih ke dalam peat moss secara perlahan-lahan sehingga mencapai ukuran yang dikehendaki (3~5mm).
Kemudian timbus biji benih tersebut dengan menggunakan jari tangan secara perlahan. Jangan ditekan!!!
6. Menyiram
Kemudian siram air secara rata sehingga basah ke atas peat moss dengan menggunakan spray. Berhati-hati semasa siraman agar biji benih tidak beralih kedudukannya dari dalam peat moss tersebut.
7. Penyimpanan
Tray semaian ini kemudiannya hendaklah diletakkan jauh daripada cahaya matahari yang boleh menyebabkan peat moss menjadi cepat kering. Peat moss hendaklah sentiasa berkeadaan lembab pada sepanjang masa sebelum biji benih bercambah. Oleh itu, penyiraman dicadangkan dilakukan sebanyak 2 kali sehari.
Salah satu kaedah lain untuk mengekalkan kelembapan peat moss ialah dengan meletakkan satu lagi tray semaian (kosong) secara terbalik ke atas tray semaian yang berisi biji benih itu tadi. Ini juga akan memudahkan kita untuk memeriksa dan menyiram dengan air. Ini juga dapat memastikan cahaya matahari tidak sampai kepada peat moss.
8. Biji Benih Bercambah
Pada kebiasaannya, biji benih akan mula bercambah di dalam tempoh masa 3-5 hari dari tarikh semaian. Tray kedua (tray kosong) hendaklah dialihkan apabila biji benih telah mula bercambah. Dalam masa yang sama, penyiraman air hendaklah diteruskan. Dalam masa 5~7 hari biji benih akan mengeluarkan 2 daun.
9. Pendedahan Kepada Cahaya Matahari
Apabila kedua-dua daun tersebut telah terbuka, maka ianya perlulah didedahkan kepada cahaya matahari yang sederhana panas tetapi hendaklah dijauhkan daripada terkena hujan.
Kebiasaan rekabentuk rumah semaian adalah berpara/bertingkat dan mempunyai sekurang-kurangnya 2 tingkat. Tingkat bawah untuk biji benih yang belum bercambah (tidak memerlukan cahaya matahari) dan tingkat atas untuk anak pokok yang telah mempunyai sekurang-kurangnya 2 daun dan memerlukan cahaya matahari untuk proses tumbesarannya.
Atapnya pula hendaklah dibina daripada plastik lutsinar dan boleh ditembusi oleh cahaya matahari. Ketinggian atap dicadangkan sekurang-kurangnya 3 kaki daripada para yang teratas sekali.
Plastik atap pula sebaiknya menggunakan bahan pelindung UV bagi memelihara dan melindungi anak pokok daripada sinaran UV.
Manakala dinding dan sekeliling rumah semaian hendaklah dilitupi dengan jaring halus bagi mengelakkan serangan serangga.
10. Keperluan Nutrien
Anak pokok di dalam tray semaian ini yang telah mencapai umur 14 hari perlulah diberikan nutrien tambahan kerana pada masa ini, peat moss sudah tidak lagi dapat membekalkan nutrien yang diperlukan oleh anak pokok. Pada masa ini anak pokok telahpun mempunyai sebanyak 4 helai daun.
Oleh yang demikian, penyiraman dengan menggunakan baja AB hendaklah dilakukan pada kadar 0.5EC ~ 1.0EC. Jika menggunakan 1.0EC, pastikan siraman tidak terkena daun pokok kerana ianya akan menyebabkan kerosakan pada daun.
Kaedah lain yang digunakan untuk tujuan siraman adalah dengan menyediakan bekas takungan berisi air baja. Kemudian masukkan/rendamkan tray semaian yang berisi anak pokok itu ke dalam bekas takungan air baja tersebut. Namun begitu kaedah ini agak kurang baik kerana permasalahan seperti kualiti air baja mungkin tercemar, pemindahan bakteria mudah berlaku dan kemungkinan tray semaian boleh terjatuh semasa mengalihkan tray semaian tersebut.
11. Anak Pokok Matang
Anak pokok akan menjadi matang (cukup umur) sekurang-kurangnya pada umur 25 hari (3 minggu) dari tarikh semaian. Pada masa ini anak pokok telahpun mempunyai sebanyak 6 helai daun.
Oleh yang demikian, pada ketika ini, anak pokok bolehlah dipindahkan ke dalam polibag.
Namun begitu, adalah dicadangkan untuk memindahkan anak pokok ke dalam polibag pada hari yang ke-30. Ini adalah bagi memastikan anak pokok benar-benar cukup matang sebelum dipindahkan. Ini dapat dipastikan dengan memerhatikan pada pangkal anak pokok yang akan bertukar kepada warna sedikit kelabu.