Kebun Permai, Alor Gajah Melaka, Sabtu 22 November 2008 - Minggu ini saya dan adik dengan dibantu oleh isteri menyediakan media tanaman yang sebelum ini hanya berjaya menyediakan sebanyak 9 polibag memandangkan kesukaran untuk mendapatkannya di negeri Melaka dan kawasan sekitarnya.
InsyaAllah, jika tidak aral melintang, saya akan menjadi seorang pembekal peralatan Fertigasi di Alor Gajah, Melaka menjelang Januari 2009 nanti. Setidak-tidaknya ianya akan dapat membantu dan menarik lebih ramai usahawan berkecimpung di dalam bidang Fertigasi ini.
Penyediaan media tanaman yang kami lakukan pada minggu ini berjalan dengan lancar. Kami menggunakan kain canvas besar terpakai (penutup badan lori) sebagai alas untuk mengelakkan media tanaman daripada bercampur dengan tanah. Kami menggunakan kaedah campuran cocopeat dan sekam bakar pada nisbah 3:1 untuk mendapatkan media yang ideal.
Kedua-dua campuran ini digaulkan secara sama rata sehingga sebati. Kemudian kami memasukkan media tanaman ini ke dalam polybag. Selesai kesemua 100 polybag (sebelum ini rancangan hanya 78 polybag sahaja) kami terus menyusunnya ke atas batu-bata. Kami telah membuat keputusan untuk menggenapkan jumlah tanaman cili kepada 100 pokok untuk memudahkan pengiraan terutamanya baja air dan penyelenggaraan nanti.
Kemudian, dengan masa yang masih ada, kami membuat kemasan dengan meletakkan batu sesaran (hancur) di hujung Silver Shine untuk memastikan apabila hujan lebat, ianya tidak mengotorkan Silver Shine tersebut.
InsyaAllah, pada sabtu ini 29 Nov 2008 ini, akan selesailah kesemua kerja-kerja penyediaan tapak (baki 22 polybag), media tanaman, sistem siraman dan pagar disekeliling tapak Fertigasi ini.