Bekas Tanaman merupakan satu keperluan utama dalam mengusahakan tanaman secara fertigasi tanpa tanah. Menanam tanaman di dalam bekas tanaman sebenarnya lebih mudah dan terdapat banyak kebaikan jika dibandingkan dengan menanam di atas tanah kerana faktor-faktor berikut :-
- Mengelakkan penyakit bawaan tanah
- Menjimatkan campuran media tanaman
- Tumbesaran tanaman boleh dikawal.
- Boleh diubah untuk tujuan hiasan dan jualan
- Kerja-kerja penyelenggaraan boleh dijalankan mengikut keselesaan pekerja
- Faktor-faktor keperluan kehidupan pokok seperti baja, air, tanah, cahaya, suhu dan pengurusan perosak dapat dikawal.
Bahan (Material) Bekas Tanaman
Terdapat pelbagai jenis Bekas Tanaman dipasaran pada masa sekarang. Ini juga dikenali sebagai pasu. Diantaranya ialah Pasu Plastik, Pasu Tembikar/ceramik, Pasu Tanah Liat dan lain-lain lagi.
Pasu tanah liat mempunyai dinding yang berongga untuk membantu pengudaran dan saliran. Pasu plastik dan seramik tidak mempunyai dinding yang berongga tetapi hanya terdapat lubang saliran. Biasanya pasu-pasu dari jenis ini didapati lebih menarik.
Bagi pasu plastik dan Tembikar, siraman harus berhati-hati dan dijarangkan kerana dindingnya tidak berongga. bagi pasu jenis plastik tidak perlu diletakkan kepingan-kepingan pasu di atas lubang seperti pasu tanah liat. Juga pasu plastik lebih mudah dibasuh.
Bekas tanaman yang paling popular dikalangan pengusaha tanaman sayur-sayuran dikenali sebagai Polibag (Polybag PE) dan didatangkan dengan pelbagai jenis saiz, bergantung kepada jenis tanaman. bagi tanaman secara fertigasi, polibag bersaiz 15" x 16" dan 16" x 16" sering menjadi pilihan utama.
Kebiasaannya polibag terdapat dalam 2 warna iaitu hitam dan putih dan ada juga yang terdapat di dalam 2 warna (luar putih, dalam hitam).
Jika menggunakan polibag berwarna putih, maka sebaik-baiknya ia hendaklah mengandungi campuran bahan UV (Ultra Violet) bagi membolehnya tahan lebih lama akibat pancaran matahari.
Warna
Kebiasaannya bekas tanaman polibag terdapat dalam 2 warna iaitu hitam dan putih. Namun begitu, terdapat juga pengusaha yang menggunakan polibag yang mempunyai 2 warna iaitu bahagian luar berwarna putih dan bahagian dalam pula berwarna hitam. Ini adalah disebabkan warna juga memainkan peranan yang penting di dalam tumbesaran tanaman kerana faktor-faktor berikut:-
- Putih - Kadar penyerapan haba yang rendah.
- Hitam - Kadar penyerapan haba yang tinggi.
Ini memberikan kelebihan kepada akar di dalam bekas tanaman berwarna putih untuk dapat menyerap nutrien dengan lebih baik.
Namun begitu, bekas tanaman berwarna hitam adalah lebih tahan lama berbanding dengan warna putih. Oleh yang demikian disarankan bekas tanaman berwarna putih adalah dari jenis UV untuk ianya dapat tahan lebih lama.
Lubang
Bekas tanaman sebaiknya mestilah mempunyai lubang aliran air keluar bagi mengelakkan air bertakung.
Lubang yang baik ialah disekeliling bahagian tepi bekas tanaman. Ianya menjadi satu keperluan utama sekiranya tanaman secara fertigasi dibuat tidak menggunakan Rumah Perlindungan Hujan dan secara terbuka (open system).
Alas/Lapik
Selain memberi pengudaraan terbaik, kaedah ini juga dapat mengelakkan daripada jangkitan kuman daripada tanah dari bahagian bawah.
Kadangkala akar tanaman boleh terkeluar dari bahagian bawah bekas. Ini akan mendatangkan risiko jangkitan penyakit oleh kulat, bakteria atau virus.
Pastikan keadaan di bahagian bawah atau kawasan penanaman tiada air yang bertakung.
Pembasmi Kuman/Bakteria
Bekas Tanaman yang hendak diguna semula selepas tamat musim tanaman hendaklah dibasmi kumankan terlebih dahulu sebelum digunakan untuk musim yang seterusnya.
Bersihkan dari sisa baki media dan basuh dengan menggunakan larutan antiseptik.
Jika perlu, Bekas Tanaman hendaklah direndam di dalam larutan antiseptik selama 48 – 72 jam seperti Dettol, Cidol, Lindores, Polvidon (Povidon) dan sebagainya.
Sesetengah pembasmi kuman boleh diperolehi dikedai-kedai farmasi.
Kos/Harga
Bekas Tanaman yang baik dan berkualiti serta tahan lama tentu mempunyai harga yang mahal.
Oleh yang demikian, pilihlah bekas tanaman dengan baik agar tidak meningkatkan kos penanaman di kebun.