Kebun Permai, Ahad 7 Disember 2008 - Seperti yang dirancangkan sebelum ini, saya meneruskan Projek Mini 100 Pokok Cili Fertigasi di Kebun Permai, Alor Gajah, Melaka bersama-sama dengan 2 orang adik saya Mohd Nor dan Mohd Naser sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidil Adha. Walaupun saya baru 1 hari keluar dari wad (kerana denggi), namun kerana semangat dan perancangan yang telah diatur, kami teruskan juga program membuat bancuhan baja air dan memindahkan anak pokok cili dari tray semaian ke dalam polibag.
Jam 10 pagi kami mulakan dengan membuat bancuhan baja air ( Bahan A dan B) sebanyak 100 liter. 2 buah tong berkapasiti 120 liter setiap satu digunakan sebagai bekas menyimpan baja air bahan A dan bahan B (pekat). Selepas itu, sebuah tangki air berkapasiti 100 gelen (378 liter) dipenuhkan dengan muatan sebanyak 350 liter air pili dan dicampurkan dengan 3.5 liter bahan A dan 3.5 liter bahan B (pekat) untuk mendapatkan sukatan bagi baja air yang ideal untuk anak pokok cili yang berusia 1 bulan. Bacaan baja air kemudiannya disukat dengan menggunakan EC Meter sehingga mendapat bacaan 1.5 EC.
Selesai membuat bancuhan, ujian siraman dilakukan dengan menyukat jumlah siraman berdasarkan kepada keupayaan motor (pam akuarium). 2 botol air mineral (500ml) digunakan untuk menyukat pada kedudukan permulaan dripper (polibag pertama) dan penghujung dripper (polibag ke-100). Keputusan yang diperolehi ialah 100ml = 4 minit. Kami menetapkan jumlah siraman sehari/pokok ialah sebanyak 500ml. Sebuah Alat Penetap Waktu (Timer) digunakan dan jadual siraman untuk Kebun Permai adalah seperti berikut :-
- Siraman Pertama : 8:30 pagi ~8:34 pagi
- Siraman Ke-2 : 10:30 pagi ~ 10:34 pagi
- Siraman Ke-3 : 1:00 ptg ~ 1:04 petang
- Siraman Ke-4 : 3:00 ptg ~ 3:04 ptg
- Siraman Ke-5 : 5:00 ptg ~ 5:04 ptg
Penggunaan baja air sehari = 50 liter.
Penggunaan baja air sebulan = 1,500 liter
Kemudiannya, kami terus memindahkan anak pokok cili (Kulai 568) ke dalam polibag. Kerja-kerja pemindahan sebanyak 100 anak pokok cili ini mengambil masa selama lebih kurang 20 minit dengan dibantu oleh adik saya Mohd Naser dan Mohd Nor.
Alhamdulillah, menjelang tengahari, kesemua kerja-kerja telah selesai dilakukan. Maka bermulalah episod baru bagi 100 anak pokok cili Kulai ini di dalam polibag yang lebih selesa berbanding dengan tray semaian yang kecil sebelum ini.