Kebun Permai, Alor Gajah Melaka, Sabtu 28 Disember 2008 - Hari ke-22, anak pokok cili membesar dengan sihat dengan ketinggian anak pokok cili telah mencecah 12 inci (1 kaki) tinggi. Pengalaman Projek Mini Kebun Puchong banyak mengajar saya tentang penjagaan anak pokok cili di dalam tempoh pembesarannya.
Apa yang penting ialah sukatan EC/kuantiti baja air (baja AB) dan amalan meracun adalah 2 elemen yang terpenting di dalam penjagaan pokok cili bagi memastikan pembesaranya adalah baik.
Sukatan baja AB yang saya gunakan ialah 1.5 EC dan kuantiti sebanyak 500ml/pokok/sehari dengan kekerapan siraman sebanyak 5 kali sehari.
Saya menjadualkan amalan meracun bermula dari tempoh anak pokok berumur 1 minggu dengan menggunakan 2 jenis racun serangga iaitu racun semut/anai-anai/lalat putih dan racun hamama beselang seminggu setiap kali meracun. Kesannya amat baik sekali dimana tiada lagi semut yang mahu melintasi hamparan silver shine.
Memandangkan buluh pancang masih lagi belum cukup kering untuk dijadikan sebagai pancang sokongan, maka saya terpaksa mengekalkan penggunaan kayu sokongan bagi mengelakkan anak pokok daripada tumbang atau patah ekoran dari kekerapan hujan yang turun dan masalah tiupan angin yang agak kencang.
InsyaAllah, minggu ini saya akan memasang buluh pancang bagi kesemua 100 anak pokok cili ini bagi mengelakkan masaalah di kemudian hari jika ianya lewat daripada masa yang sepatutnya.