Kebun Puchong, Puchong Selangor, Sabtu 17 Januari 2009, Hari yang dinanti-nantikan telah tiba bilamana anak pokok cili sebanyak 20 pokok yang dipindahkan ke polibag sejak 86 hari (2 bulan 3 minggu) yang lepas telah mula masak dan sedia untuk dituai hasilnya.
Tuaian Musim Pertama
Jumlah : 29 biji
Berat : 329 gram
Tuaian pertama ini (sebelum ini hanya 1, 2 biji sahaja yang masak) saya berikan kepada jiran dan keluarga di kampung.
Memandangkan cili kulai jenis ini mempunyai banyak daun, maka saya telah melakukan kerja-kerja mencantas daun-daun yang tidak diperlukan bagi keseimbangan pemberian nutrien (baja) kepada pokok cili. Sekiranya daun terlalu banyak, maka buah cili akan menjadi lebih kecil dari sepatutnya.
Kemudian saya terus meracun dengan menggunakan racun serangga (Termicide) bagi memelihara kulit/dahan pokok yang luka akibat cantasan yang dilakukan daripada dirosakkan oleh serangga perosak.
InsyaAllah, jangkaan saya pada minggu hadapan, tuaian kedua akan dilakukan kerana masih banyak lagi buah cili yang telah matang dan menanti untuk dituai.
Inilah kata pepatah, berbudi kepada tanah (walaupun fertigasi tidak menggunakan tanah...sabut/sekam sama seperti tanah), hasilnya amat baik dan bermakna sekali. Apa yang penting adalah kesungguhan dan kesabaran di dalam mengusahakan sesuatu, pasti akan mendatangkan hasil seperti mana yang diharapkan.
Apa yang saya pelajari selama 86 hari ini adalah :-
- Anak pokok cili 1 hari hingga 30 hari perlu dibelai dengan sepenuhnya seperti mencantas daun/dahan agar ianya mencapai ketinggian yang ideal sebelum mengeluarkan bunga/putik.
- Pemberian kadar/sukatan (kuantiti, EC dan jumlah baja air) nutrien seperti baja air adalah amat penting semasa umur anak pokok sedang meningkat naik. Sukatan baja air yang saya gunakan ialah 1.5 EC 500ml sehari/pokok untuk anak pokok 1-30 hari. 1.75 EC 1000ml sehari/pokok untuk pokok berusia 31-60 hari. 2.5 EC 1500ml sehari/pokok untuk pokok berusia 61-90 hari dan seterusnya.
- Amalan meracun hendaklah dilakukan dan mengikut jadual yang betul bagi memastikan pokok cili dilindungi daripada serangan serangga perosak.
- Penyelenggaran kawasan tanaman seperti menyediakan tiang sokongan, buluh sokongan, menyediakan tali junjung dan sebagainya perlu dilakukan bagi memastikan pokok cili dapat tumbuh secara menegak dan tidak mudah rebah/patah akibat bebanan buah cili, hujan lebat, angin kuat dan sebagainya.Dengan cara ini juga kerja-kerja meracun akan menjadi lebih mudah termasuk di bahagian bawah daun.