Antara kebun yang saya lawati pada hari Sabtu, 13hb Mac 2010 yang lalu ialah Kebun milik 2 orang sahabat iaitu En. Amir dan En. Hairi yang terletak di Kampung Bukit Darat Luar, Tanjung Kling, Melaka. Mereka mengusahakan tanaman cili secara fertigasi dengan kapasiti tanaman berjumlah 2,500 pokok. Ini merupakan musim kedua tanaman cili mereka dengan varieti F1 568 menjadi pilihan.
Info Kebun
Pengusaha : En Amir/En Hairi
Kebun : Kg Bkt Darat, Tjg Kling
Tanaman : F1 568
Jumlah : 2,500 pokok
Sebelum ini, mereka yang menggunakan "polibag bantal" terpaksa mengeluarkan belanja membeli polibag lain untuk tanaman musim kedua ini memandangkan bentuk fisikal polibag tersebut menyukarkan mereka untuk melakukan proses rawatan media.
Pada masa lawatan saya ini, anak pokok mereka telah berusia lebih daripada 2 minggu. Oleh yang demikian, saya menyarankan agar mereka menggunakan Zeolite bagi memastikan sekam padi bakar yang mereka gunakan sebagai media tanaman dapat berfungsi dengan baik dan meningkatkan kebolehupayaannya memegangkan nutrien dengan lebih baik.
Saya menghabiskan masa lebih kurang 1 1/2 jam di kebun mereka sambil berkongsi-kongsi input dan maklumat tentang Pemberian Nutrien, Kawalan Serangga dan Pengurusan Kebun memandangkan tanaman musim pertama mereka tidak menepati sasaran kutipan hasil sepertimana yang diharapkan. Mudah-mudahan tanaman mereka pada musim kedua ini akan dapat menepati sasaran kutipan skurang-kurangnya 2.8kg bagi setiap pokok.
Kemudian saya memenuhi undangan kedua iaitu melawat kebun En Ridzuan yang terletak di Pokok Mangga, Melaka. Kapasiti tanaman beliau yang telahpun mengeluarkan hasil berjumlah 6,000 pokok cili Kulai F1 568.
Beliau mengusahakan tanaman cili ini berdekatan dengan depot simpanan kenderaan pembuangan sampah. Oleh yang demikian ianya mengundangkan pelbagai jenis serangga dan bakteria. Untuk tujuan itu, saya menasihatkan agar beliau lebih peka terhadap kawalan serangga terutamanya bagi memastikan bakteria tidak dapat melepasi kawasan kebun iaitu dengan memasangkan jaring hitam disepanjang sempadan kebun.
Info Kebun
Pengusaha : En Ridzuan
Kebun : Pokok Mangga, Melaka
Tanaman : Kulai F1 568
Jumlah : 6,000 pokok
Disamping Cili Kulai, beliau juga ada mengusahakan lain-lain tanaman seperti Cili Akar, Bendir, Terung dan lain-lain. Bagi memastikan atau sekurang-kurangnya mengurangkan risiko serangan penyakit, beliau disarankan agar memisahkan plot tanaman agar tanaman-tanaman lain tidak mengundang kehadiran serangga seperti hama, kutu trips, kutu daun dan sebagainya. Antara cadangan ialah memasang jaring hitam pemisah sekurang-kurangnya 6 kaki tinggi antara tanaman cili dan tanaman lain.
Semasa kehadiran saya, kebun beliau baru sahaja mengeluarkan hasil sebagai cili hijau (atas permintaan pelanggan) dan dijual dengan harga RM7.00/kg.
Kami juga berbincang tentang 3 perkara utama di dalam penanaman cili ini iaitu Pemberian Nutrien, Kawalan Serangga dan Pengurusan Kebun.
Selain daripada penggunaan Baja AB sebagai sumber Nutrien utama, saya juga menasihatkan beliau tentang kebaikan Supplement seperti Zeolite, Penggalak Bunga/Buah, Smart Grow bagi memastikan buah cili yang dihasilkan adalah menepati keperluan pasaran.
Berbekalkan minat dan keazaman yang tinggi, saya percaya En. Amir, En. Hairi dan En. Ridzuan akan menjadi usawantani Fertigasi yang berjaya dan akan menjadi model kepada bakal usahawan-usahawan lain di negeri Melaka ini yang ingin menceburi industri pertanian Fertigasi ini.