![](https://i629.photobucket.com/albums/uu11/romatechagro/Kebun_Permai/Musim-1/H35/DSCN0787.jpg)
Kebun Permai, Sabtu 10 Januari 2009 - Hari ke-35, Kebun Permai di Alor Gajah Melaka, saya meneruskan jadual kerja seterusnya dengan memasang buluh sokongan walaupun ianya telah terlewat dari yang sepatutnya dengan pokok cili telah mencecah ketinggian 21 inci dari aras media tanaman (cocopeat) dan telah mula mengluarkan putik dengan banyak sekali pada setiap pokok.
![](https://i629.photobucket.com/albums/uu11/romatechagro/Kebun_Permai/Musim-1/H35/DSCN0551.jpg)
![](https://i629.photobucket.com/albums/uu11/romatechagro/Kebun_Permai/Musim-1/H35/DSCN0564.jpg)
Saya menggunakan tiang besi pagar sepanjang 6 kaki yang dibeli pada minggu lepas dari kedai barangan terpakai yang terletak di Jalan Besar Tampin-Melaka dengan harga RM11.00 sebatang atas nasihat dan pandangan ayah yang bersama-sama dengan saya membelinya. Kerja-kerja menyediakan konkrit simen dilakukan pada minggu lepas. Sebanyak 16 batang tiang besi pagar digunakan dan anggaran kos adalah RM176.00.
![](https://i629.photobucket.com/albums/uu11/romatechagro/Kebun_Permai/Musim-1/H35/DSCN0634.jpg)
Kerja bermula dengan memasang Skru Penegang (Turn-buckle) bagi memudahkan kerja-kerja menegangkan dawai besi diantara 2 tiang sokongan. Kemudian dawai diregangkan secara berhati-hati bagi mengelakkan tiang terlalu senget atau dawai tersebut melanggar pokok cili yang tinggi ini (> 1 kaki).
![](https://i629.photobucket.com/albums/uu11/romatechagro/Kebun_Permai/Musim-1/H35/DSCN0650.jpg)
Selepas itu buluh sokongan sepanjang 5 kaki dicucuk di dalam polibag secara berhati-hati. Memandangkan kelewatan pemasangan buluh sokongan ini, maka saya menyiram terlebih dahulu dengan air (guna air baja) kedalam polibag bagi melembutkan media tanaman dan memudahkan buluh dicucuk ke dalam polibag. Namun begitu, pasti beberapa akar pokok yang terputus dan ini tidak dapat dielakkan.
Kemudian kerja-kerja mengikat buluh sokongan pada dawai dan batang pokok cili (bahagian bawah) dilakukan terhadap 100 batang pokok cili ini. Ayah dan mak cukup setia menjadi pemerhati dan menegur jika ada kesilapan yang dilakukan oleh kami adik beradik.
![](https://i629.photobucket.com/albums/uu11/romatechagro/Kebun_Permai/Musim-1/H35/DSCN0690.jpg)
Jam 7:00 malam, semua kerja-kerja memasang buluh sokongan ini siap. Syukur kerana tiada apa-apa masalah. Mudahan selepas ini masalah angin kuat dan hujan lebat tidak akan menjejaskan kestabilan pokok. Dan ianya pasti akan memudahkan pokok cili untuk tegak dan dapat menampung berat buah yang dihasilkan nanti.
![](https://i629.photobucket.com/albums/uu11/romatechagro/Kebun_Permai/Musim-1/H35/DSCN0738.jpg)
![](https://i629.photobucket.com/albums/uu11/romatechagro/Kebun_Permai/Musim-1/H35/DSCN0770.jpg)
![](https://i629.photobucket.com/albums/uu11/romatechagro/Kebun_Permai/Musim-1/H35/DSCN0795.jpg)
![](https://i629.photobucket.com/albums/uu11/romatechagro/Kebun_Permai/Musim-1/H35/DSCN0794.jpg)