Sabtu 15 November 2008 - Seawal jam 7:30 pagi, saya dan keluarga bertolak balik ke Kampung Permai, Alor Gajah, Melaka yang terletak lebih kurang 1 1/2 jam perjalanan dari Puchong, Selangor melalui Lebuhraya PLUS.
Setelah berehat hampir 1 jam (sarapan pagi), saya dan adik saya Mohd Naser memulakan kerja-kerja pemasangan sistem paip air seperti yang telah dirancangkan. Memandangkan di sekitar negeri Melaka tidak terdapat kemudahan untuk membeli peralatan Fertigasi ini, maka saya terpaksalah membelinya dari Kedai Fertigasi yang terletak di Sungai Ramal Dalam, Kajang, Selangor.
Antara peralatan yang telah dibeli sebelum ini ialah polypipe utama 32mm, polypipe 16mm, tube mini micro, dripper, nipple, Off Take Valve dan lain-lain lagi.
Langkah permulaan ialah dengan memasang paip utama 32mm daripada Poly-tank 100 gelen (bersamaan 350 liter air). Memandangkan saya menggunakan pam aquarium yang agak besar dan paip yang digunakan adalah bersaiz 25mm, maka untuk menyambung kepada paip utama, maka saya perlu menggunakan adaptor penyambung (32mm-25mm).
Kerja-kerja memasang paip utama 32mm berjalan dengan baik. Kemudian, kami memasang Clamp Saddle dan Off Take Valve (Male) selepas menebuk lubang bersaiz 16mm pada paip utama untuk tujuan penyaluran air baja kepada setiap barisan. Ada 6 lubang kesemuanya dengan menggunakan penebuk lubang khas.
Selepas itu, kerja-kerja memasang paip dalaman untuk disalurkan kepada polybag dibuat dengan menggunakan poly pipe yang lebih kecil bersaiz 16mm sepanjang 35 kaki untuk sebaris 15 polybag. Memandangkan saya bercadang untuk menjadikan Kebun Permai ini sebagai Projek Contoh, maka saya menggunakan sebanyak 6 polypipe dalaman yang diletakkan dibawah polybag (diantara dua batu-bata) supaya ianya nampak lebih kemas dan memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan nanti.
Kemudian, pengujian terhadap penyaluran air baja dilakukan bagi tujuan memastikan tidak ada sebarangan halangan laluan di dalam paip utama dan paip dalaman. Ianya juga bagi memastikan sisa-sisa kesan dari kerja-kerja penebukan lubang tidak tersangkut di dalam paip tersebut.
Proses akhir dengan membuat kemasan seperti memasang Endcap 16 mm (paip dalaman) dan 32mm (paip utama) serta memasang dawai pemegang paip utama 32mm agar tidak mudah bergerak-gerak.
Dengan masa yang masih ada, kami seterusnya menyediakan media iaitu cocopeat dan sekam bakar yang saya bawa dari Puchong (2 beg sahaja). Nisbah campuran yang dicadangkan adalah 3 cocopeat : 1 sekam bakar untuk mendapatkan hasil yang ideal. Sekam bakar tidak dapat menyimpan air, manakala cocopeat pula banyak menyimpan air. Kemudian, campuran kedua-dua media ini akan digaul sehingga rata sebelum boleh dimasukkan ke dalam polybag.
Kemudian saya membuat ujian terhadap 9 polybag ini dengan memasang set siraman. Seterusnya menjalankan pam. Alhamdulillah, kesemuanya berjalan dengan baik tanpa apa-apa masaalah.
Akhir sekali untuk minggu kedua ini saya sempat melakukan kemasan seperti membuat pagar sementara dengan menggunakan tali plastik di bahagian hadapan. Ini adalah mengelakkan pelawat daripada memasuki kawasan projek fertigasi hingga mengganggu tanaman cili fertigasi ini. Konsep yang ingin saya jalankan ini adalah kualiti dan kebersihan tapak projek fertigasi.