Rawang, Selangor 9 November 2008 - Masyarakat bandar yang selalunya mempunyai kawasan rumah yang agak terhad disarankan mengamalkan cara hidup ‘urban garden’ atau Bumi Hijau yang berkonsepkan tanaman makanan dijadikan hiasan.
Pegawai Pertanian Daerah Gombak/ Petaling, Emi Faizal Mohd Borham berkata, saranan yang ditekankan ini selaras dengan ‘tagline’ yang diuar-uarkan pihaknya iaitu ‘tanam, ternak, guna sendiri. Jimat cermat bina ekonomi’, yang menggalakkan suri rumah merealisasikan konsep berkenaan untuk kegunaan sendiri.
“Secara tidak langsung, dalam ekonomi yang tidak menentu pada masa sekarang, sekurang-kurangnya usaha ini membantu menjimatkan perbelanjaan keluarga. Walaupun mungkin kebanyakan kita memberi alasan, rumah tidak ada tanah (bagi rumah pangsa atau kondominium), tetapi penggunaan seperti ‘polybag’ dan pasu serta cara fertigasi dan seumpamanya boleh digunakan untuk bercucuk tanam.
“Antara sayur-sayuran yang boleh ditanam adalah seperti cili, terung, kunyit, halia dan lain-lain termasuk tanaman pokok herba seperti misai kucing, mas cotek, hempedu bumi, dokong anak dan sebagainya mengikut cita rasa masing-masing. Kalau boleh kita mahu konsep ini menjadi salah satu cara hidup orang kita,” kata Faizal mengenai konsep ‘urban garden’ yang tidak menanam terus ke tanah.
Dalam program yang dihadiri petani dan ketua-ketua kampung setempat itu, selain konsep Bumi Hijau, Faizal turut memberitahu tujuan program tersebut adalah untuk memberikan pendedahan kepada hadirin mengenai faedah serta kerjasama yang boleh dibantu pihaknya untuk masyarakat dalam hal berkaitan pertanian.
"Sebenarnya ramai di kalangan masyarakat kita yang mengusahakan bidang pertanian. Cuma kita tiada daftar sebenar petani yang membolehkan kita membuat tindakan susulan. Jadi, dengan penyaluran maklumat di peringkat daerah sebegini, kita berharap senarai nama petani ini dapat dikumpulkan" - Emi Faizal Mohd Borham
Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran kempen bumi hijau, insentif, tanaman makanan dan hari ladang-Jabatan Pertanian Negeri Selangor, yang turut dihadiri Penghulu Mukim Rawang 1, Ahmad Nazri Ibrahim, di Kompleks Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kenanga.
"Buat masa ini sudah RM10,000 insentif diberikan kepada petani daerah Gombak sejak dibuka Jun tahun ini. Bagi yang mendaftar untuk dapat insentif ramai, tetapi kebanyakan mereka tidak memenuhi syarat kita yang bergantung kepada kelulusan tanah dan rekod jualan pertanian" - Emi Faizal Mohd Borham
FAKTA ANGKA
Insentif :RM10,000
Daerah :Gombak
Pertanyaan lanjut bolehlah menghubungi Pejabat Pertanian Daerah Gombak di talian 03-61896905.
[Sumber Berita : Sinar Harian ]