Khamis 13 November 2008 - Hari ke 21 (3 minggu) sejak anak pokok cili kulai yang telah saya pindahkan dari tray semaian ke dalam polybag (24 Oktober 2008) menunjukkan tanda-tanda perkembangan yang semakin baik. Serangan serangga seperti semut telah berjaya diatasi dengan penggunaan racun Cypermethrin pada hari ke-13 yang lalu.
Ketinggian pokok cili pada hari ini mencapai ketinggian 10 inci dan telah telah mula mengeluarkan bunga yang berwarna putih (tak tau nak panggil apa) yang amat jelas kelihatan. Secara puratanya, setiap pokok cili telah mengeluarkan sekurang-kurangnya 5 kuntum bunga seperti ini. Seronok...tak leh nak cakap.. (tapi belum lagi terhasil cili sebenar...nak kena tunggu 1 bulan lagi, baru cantik).
Kesempatan cuti (mengambil keputusan UPSR anak saya) pada hari ini saya gunakan untuk mencantas tunas/dahan dan daun-daun di bahagian bawah daun utama (atas) yang bertunas agak banyak. Tujuan membuang dahan di bahagian bawah ini adalah untuk menggalakkan peningkatan ketinggian pokok cili sehingga ketahap yang ideal. Sekiranya terlalu banyak dahan atau daun dibahagian bawah (batang pokok), ianya akan menyebabkan penggunaan baja yang lebih banyak untuk menampung keperluan pokok tersebut.
Kemudian saya membuat tiang sokongan (kayu 2"x3") setinggi 5 1/2 kaki (seperti ampian baju) untuk membantu agar pokok cili nanti dapat berdiri tegak dan tidak mudah tumbang akibat hujan lebat, angin kuat dan dapat menampung berat buah cili nanti. Dawai bersalut plastik hijau adalah disarankan (belum beli lagi) dan diregangkan diantara tiang sokongan. Kemudian buluh (5 kaki panjang) yang diracik selebar 1/2 inci - 1 inci akan dipacak ke dalam media secara selari dengan batang pokok cili (jarak 1 inci) dan hujungnya diikat pada dawai. InsyaAllah, apabila dah ada buluh nanti, saya akan memasangnya sebelum ketinggian pokok cili mencapai 1~2 kaki.
Selain daripada itu, pada hari ini juga saya berkesempatan untuk mengunjungi Kebun Cili Fertigasi di Sungai Ramal Dalam bagi membeli kelengkapan fertigasi untuk Projek Fertigasi Kebun Permai saya yang terletak di Kampong Permai, Machap, Alor Gajah Melaka. InsyaAllah, minggu ini akan siaplah paip siraman untuk 78 pokok cili tersebut.