Alhamdulillah, hari ke-10 Ahad 2 November 2008, pokok cili saya telah membesar dengan agak baik sejak dipindahkan kedalam polybeg pada 24 Oktober 2008 yang lalu. Seronok melihat kehijauan daun-daunnya setiap kali pulang dari kerja.
Pada hari ini ketinggian pokok cili telah meningkat kepada 6 inci tinggi berbanding seminggu yang lalu iaitu 3 inci sahaja. Sistem timer juga berjalan dengan lancar yang mana penggunaan baja siraman untuk 20 pokok cili adalah seimbang iaitu 500ml sehari bagi setiap pokok.
Namun begitu, pada minggu pertama ini, saya menghadapi sedikit masalah iaitu beberapa pokok cili telah menjadi sarang untuk semut bertelur di bawah daun. Oleh yang demikian, saya terpaksa menggunakan kaedah secara manual iaitu membuang telur-telur semut tersebut tanpa menjejaskan daun cili.
Kalau ada sahabat usahawan yang dapat membantu saya berkenaan dengan cara untuk menghindarkan semut daripada bertelur di bawah daun cili ini selain daripada penggunaan Silver Shine, amatlah saya alu-alukan. Saya tak tahu jenis racun yang sesuai.
InsyaAllah, saya menjangkakan selewatnya penghujung November 2008 ini untuk memulakan tanaman Cili Fertigasi sebanyak 100 pokok dahulu di Kampong Permai, Machap Umboo, Alor Gajah, Melaka. Ayah, Mak dan adik-adik saya menunjukkan minat yang tinggi terhadap tanaman secara fertigasi ini. Malahan mereka telah mengunjungi saya di Puchong pada Ahad 2 November 2008 yang lalu untuk melihat sendiri tanaman cili fertigasi yang telah saya mulakan ini.
Pada masa ini saya sedang memikirkan bagaimana untuk mendapatkan media tanaman (cocopeat atau sekam padi) yang pada masa sekarang belum diketahui pembekalnya di Negeri Melaka. Nak beli dari Lembah Klang ni, dengan kuantiti tidak kurang 20 guni tentu perlukan lori. Masalah juga tu....