Khamis 6 November 2008 - Hari ke 13 anak pokok cili saya mengalami perkembangan yang amat menarik sekali dengan ketinggian anak pokok telah mencapai diantara 7 1/2 inci dan 8 inci tinggi.
Beberapa anak pokok cili telah mula mengeluarkan putik pada pucuknya. Wah...tak lama lagi, akan keluarlah cili seperti yang diharapkan...
Namun begitu, saya juga menghadapi masalah dengan kehadiran semut-semut yang pada mula bertumpu dibawah daun dan bertelur, tetapi kemudiannya telah mula menghurungi putik-putik cili tersebut. Kalau dibiarkan, lama kelamaan pokok cili tersebut akan mengalami masalah yang lebih besar seperti mati.
Atas nasihat dan tunjuk ajar seorang sahabat usahawan, malam tadi saya keluar mencari racun serangga yang disarankan iaitu Cypermethrin bagi tujuan menghalau semut-semut daripada menjadi tetamu yang tidak diundang. Sebotol mengandungi 100ml saya beli dengan harga RM5.00 di kedai bunga yang terletak di Giant Bandar Puteri Puchong, Selangor. Ia adalah pekat dan mengikut sukatannya, 10ml Cypermethrin perlu dicampurkan dengan 10 liter air. Oleh yang demikian, dengan kuantiti 100ml ini, maka kadarnya adalah 100 liter air. Saya bercadang akan memulakan semburan pada keesokkan hari, apabila pulang dari kerja nanti. Malam-malam tak boleh sembur...nanti masalah pula.
Dalam pada itu, terkejut juga saya apabila pada hari ini, saya dapati sebatang pokok cili tersebut telah patah di bahagian atas. Tak tahulah apa kenanya. Mungkin ayam atau kucing saya yang terlanggar agaknya. Harap-harap lepas ni, ianya akan tumbuh pucuk yang baru. Harap-harap begitulah.
Inilah antara kesabaran yang perlu dilalui oleh semua usahawantani di dalam menempuh cabaran dan dugaan untuk menempa kejayaan. InsyaAllah, ianya akan menguatkan azam saya dan isteri untuk terus melalui semuanya dengan lebih bersemangat dan menambahkan lagi ilmu di dalam sistem fertigasi ini.