Jumaat 21 November 2008 - Hari ke 29 genap 4 minggu umur pokok cili yang saya tanam sejak 24 Oktober 2008 yang lalu di tepi rumah di Kg. Baru Batu 14, Puchong, Selangor. Alhamdulillah, kesemua pokok cili saya dalam keadaan baik. Ketinggian pokok pada hari ini telah mencecah kepada 16 inci tinggi.
Daripada 20 batang pokok ini, salah satu daripadanya telahpun mengeluarkan satu buah cili kira-kira 1/2 inci panjangnya. Manakala pokok-pokok yang lain masih berbunga tidak kurang 6~15 kudup bunga.
Saya juga membuat beberapa perkara seperti memasang tiang dan buluh sokongan bagi membantu agar pokok cili tidak tumbang dan menegangkannya dengan mengikat pada skru pengikat yang saya beli dengan harga RM1.50 dari kedai Hardware berdekatan.
Memandangkan tangki baja yang saya gunakan bermuatan 80 gelen air (300 liter), maka ianya adalah mencukupi untuk tempoh 30 hari (1 bulan). Oleh yang demikian pada hari ini, saya telah membuat bancuhan air baja kedua. Tetapi pada kali ini, saya menaikkan sedikit jumlah bacaan EC dari 1.7 kepada 2.0 EC bagi memenuhi keperluan cili tersebut yang galak membesar. Kerja-kerja membancuh air baja turut dibantu oleh isteri dan jiran saya.